PENGENDALI Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, berkata tindakan Pierre-Emerick Aubameyang membicarakan soal masa depannya dalam media tidak membantu kelab itu.

Aubameyang sering kali bercakap tentang impiannya untuk beraksi bersama Real Madrid dan mendedahkan niatnya untuk berhijrah hujung musim ini ketika ditemu bual RMC.

Manchester City dan Paris Saint-Germain turut dikaitkan dengan pemain itu yang telah menyumbang 20 gol dalam Bundesliga musim ini.

Bagaimanapun, Tuchel mahu pemain berusia 27 tahun itu berhenti berbicara mengenai perpindahan, sebaliknya membantu kelab itu mencapai objektif memasuki separuh kedua musim ini.

"Kenyataan sedemikian tidak akan membantu apa-apa," kata Tuchel mengenai Aubameyang menjelang aksi berdepan RB Leipzing pada Sabtu.

"Ada kalanya ia menyakitkan hati tetapi kami tidak boleh terlalu memberikan fokus terhadap isu itu.

"Jika menilai kembali kenyataannya, dia sedang bertanya kepada diri sendiri sama ada dia mahu menamatkan karier di sini atau mengambil langkah baru.

"Yang penting, sumbangannya kepada pasukan ini. Dia sentiasa bersedia untuk memberikan segala-galanya. Kami tidak akan mencapai objektif musim ini tanpa Auba."