Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Isnin menjelaskan yang tidak ada keputusan akan dibuat mengenai perlumbaan Formula 1 (F1) minggu ini.

"Sebarang salah faham dikesalkan," kata SIC dalam satu kenyataan yang di e-mel kepada Bernama di sini.

Syarikat itu berkata, hanya pembaharuan lesen lumba motosikal (MotoGP) yang akan tamat tahun ini, dijangka dimuktamadkan akhir minggu ini.

Sebelum ini, dilaporkan nasib F1 di SIC dijangka diketahui menjelang akhir minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dipetik sebagai berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan pemegang saham utama SIC, iaitu Kementerian Kewangan pada Khamis.

"Jualan tiket F1 telah merosot sejak 2014.

"Sebaliknya, lumba motosikal Malaysia (MotoGP) nampaknya lebih berjaya dari segi menarik penonton dan potensi kesan limpahannya," katanya pada majlis taklimat media di sini, hari ini.

Razlan, bagaimanapun berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai pemberhentian F1 di Malaysia kerana SIC mempunyai perjanjian ketat dengan pemegang lesen sehingga 2018.

Malaysia mula menganjurkan F1 di Sepang pada 1999.

"Penarikan diri secara sementara daripada F1 (selepas 2018) mungkin akan memberi manfaat kepada negara. Ketika ini, sesetengah pihak menyatakan produk itu (F1) tidak lagi menarik kerana ia dikuasai satu pasukan.

"Laporan awal untuk perlumbaan terakhir F1 juga menunjukkan jumlah penonton di Malaysia adalah yang terendah dalam sejarah," katanya dengn menambah, F1 Singapura juga dilaporkan mencatat penurunan 20 peratus dalam jualan tiket. Razlan membayangkan yang SIC akan memberi tumpuan kepada membangunkan MotoGP.

MotoGP, acara lumba motosikal terbesar dunia kali pertama diadakan di Litar Batu Tiga, Shah Alam pada 1991 sebelum dipindahkan ke Litar Pasir Gudang, Johor pada 1998 manakala Litar Sepang menganjurkan MotoGP pertamanya pada 1999.

Hujung minggu ini, Shell Malaysia MotoGP 2016, iaitu MotoGP Malaysia ke-26 akan menjadi tumpuan di SIC berikutan kejayaan perlumbaan jubli perak tahun lalu.

"Tahun lepas kita menyaksikan 85,000 penonton di MotoGP itu. Tahun ini semua tiket sudah habis dijual dan kami sasarkan jumlah tertinggi, iaitu 90,000 penonton, termasuk di tempat duduk di kawasan bukit.

"Jika semua pihak bekerjasama, termasuk kementerian pelancongan, sukan dan komunikasi, kita boleh meningkat lagi," katanya. - Bernama