JOSE MOURINHO menyifatkan tiada penglibatan Chelsea dalam saingan Eropah memberikan kelebihan buat mereka musim ini, namun menegaskan beliau tidak mahu memesongkan usaha yang telah dilakukan oleh Antonio Conte.

Manchester United bakal berkunjung ke Stamford Bridge hari ini bagi saingan suku akhir Piala FA berdepan bekas kelab kendaliannya itu dan beliau tidak memiliki sebarang perasaan istimewa mengenai perlawanan ini.

Conte telah berjaya mengembalikan prestasi cemerlang Chelsea selepas mereka gagal mempertahankan kejuaraan musim lalu, dengan menduduki tangga teratas liga dengan kelebihan 10 mata.

Skuad bimbingan Mourinho yang beraksi dalam Liga Europa (UEL), saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA menyifatkan jadual perlawanan yang dimiliki The Blues merupakan kelebihan buat mereka.

"Perkara yang paling sukar adalah untuk kami menghasilkan sesuatu di padang latihan dan mereka memiliki masa untuk melakukannya.

"Saya menyedari Conte pernah menyatakan bahawa bukan salahnya Chelsea tidak beraksi di Eropah -- ia merupakan silap saya dan pemain pada musim lalu.

"Musim ini, Chelsea memiliki masa untuk berlatih dan berehat. Segala kelebihan berpihak kepada mereka. Sama seperti Liverpool beberapa tahun sebelum ini di mana mereka hampir menjuarai EPL," kata Mourinho.

Kunjungan United ke Chelsea jatuh di antara dua perlawanan UEL berdepan FC Rostov, dan Mourinho berkata pertandingan tertua bola sepak Inggeris itu menjadi keutamaan beliau.

"Ia hanya satu perlawanan lagi buat saya. Adakah saya akan bersedih jika tewas kepada Chelsea? Tidak. Adakah saya akan gembira jika menewaskan Chelsea? Tidak," katanya.