Tutup

Berita  | Sukan

Tiger mengaum, Hamilton menderum: Kemenangan dicapai, rekod hampir digapai

Tiger mengaum, Hamilton menderum: Kemenangan dicapai, rekod hampir digapai
Woods dan Hamilton semakin hampir kumpul kejuaraan terbanyak; masing masing dalam sukan golf dan lumba kereta Formula 1 GP.
DUNIA sukan semakin hampir menobat dua jaguh  – Tiger Woods dalam sukan golf dan Lewis Hamilton – Formula 1 GP sebagai G-O-A-T (greatest of all time); gelaran khusus bagi individu atau juara paling unggul di dunia.

Pada hujung minggu, Tiger Woods menyamai rekod Sam Snead meraih kejuaraan ke-82 kemenangan di padang Golf PGA (Professional Golf Association). Woods menjuarai Kejohanan Zozo – pertandingan jelalah PGA bertempat di Jepun, mengalahkan cabaran dari pemain seperti Rory McIlroy, Rio Ishikawa dan Sergio Garcia.
Woods, 43 tahun, baru sahaja menjalani pembedahan lutut yang kelima sembilan minggu lalu menyamai rekod Snead yang diciptanya pada tahun 1965.

Pada April lalu, Woods turut kembali menyambung kutipan kejuaraan Major, kali ini kejuaraan ke-15 bagi dirinya. Kejayaan itu menamatkan kemarau 11 tahun selepas kemenangannya di US Open pada 2008.
Kini hanya tinggal tiga lagi kejuaraan Major yang perlu dikejar Woods – Jack Nicklaus masih memegang rekod mengumpul sebanyak 18 Kejuaraan Major.



Sementara itu, juara lima kali Kejuaraan Formula 1 Grand Prix, Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes semakin hampir dengan rekod Michael Schumacher setelah memenangi Grand Prix Formula One Mexico pada Ahad.

Bermula dari petak ketiga, Mercedes memilih strategi berhenti tukar tayar sekali (one-pit-stop) yang menyebabkan saingannya Charles Leclerc dan Sebastian Vettel tercicir dalam usaha mengejar Hamilton yang berjaya menjarakkan jenteranya dari semua pencabar hingga tamat perlumbaan.

Dengan kemenangan ini, Hamilton hanya perlu mengumpul 4 mata dari baki tiga perlumbaan (Austin Texas, Sao Paulo, Brazil dan Yas Marina di Abu Dhabi).

Sementara itu, England akan bertemu Afrika Selatan untuk menentukan juara Ragbi Piala Dunia 2019 (Rugby World Cup 2019) pada perlawanan akhir di Yokohama, Jepun Sabtu hadapan.

Dalam pertarungan separuh akhir pada Sabtu, England mematahkan cabaran All-Blacks dengan mencatat kemenangan 19-7.

Pada Ahad pula, Wales – Juara Piala Enam Negara 2019 (Six Nations) tewas kepada Afrika Selatan 16-19.

Dalam sejarah cabaran Ragi Piala Dunia, England muncul juara pada tahun 2003 manakala Afrika Selatan juara dua kali – pada 1995 dan 2007.

Untuk perlawanan akhir pada Sabtu hadapan, England akan disorak paling ramai penyokong. Statistik menunjukkan hampir 25 peratus dari 1.8 juta tiket untuk keseluruhan pelawanan sepanjang RWC 2019 telah dibeli secara atas talian oleh peminat dari England.




Tag: tiger woods, golf, lewis hamilton, formula 1, grand prix, sukan, pencapaian



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.