Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia hanya akan dijual sehari sahaja iaitu pada Khamis ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shaharol Niza Omar.

Beliau berkata empat kaunter akan dibuka di Stadium Darulaman bermula 10 pagi, termasuk satu kaunter khas untuk golongan wanita.

Menurut Shaharol Niza, KFA yang akan menyelia sendiri jualan tiket telah diperuntukkan 30,000 tiket daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Setiap tiket dijual pada harga RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Beliau berkata kuota untuk KFA dan ahli gabungan sebanyak 4,000 tiket; kuota bas (150 bas) sebanyak 6,000 dan jualan kaunter 20,000.

Shaharol berkata pembelian untuk kuota bas adalah berdasarkan yang dahulu didahulukan dan permit bas serta salinan kad pengenalan wakil sewaktu penebusan tiket, wajib dikemukakan.