Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Ciclista Sports Sdn Bhd menghormati keputusan Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) membatalkan kelayakan seorang pelumba China, Chen Zi Wen daripada bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports, M Kumaresan menjelaskan bahawa tindakan yang diambil oleh pesuruhjaya perlumbaan terhadap pelumba dari pasukan Giant Cycling Team adalah wajar kerana melanggar peraturan UCI.

“Ketua pesuruhjaya melihat insiden pelumba dari China membaling botol minuman ke arah Mohd Hariff Saleh jelas merupakan satu kesalahan serius.

“Jadi, hasil perbincangan lima panel anggota pesuruhjaya perlumbaan atas insiden itu menyatakan sebulat suara untuk membatalkan kelayakan pelumba China itu,” katanya.

Beliau mendedahkan kenyataan berkenaan sebelum bermulanya peringkat keempat perlumbaan LTdL.

Chen dibatalkan daripada LTdL 2018 selepas didapati bersalah menyerang pelumba negara Mohd Hariff Saleh dari pasukan Terengganu Professional Bicycle Racing Team (TSG) selepas berakhirnya perlumbaan peringkat ketiga dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, semalam.

Insiden itu dilaporkan tular di media sosial dan menerima pelbagai kutukan daripada netizen.


Chen dikenakan denda 300 franc Swiss (RM1,231) setelah didapati bersalah melanggar dua peraturan UCI di bawah Perkara 30.1 Akta Keganasan di kalangan pelumba, selain Perkara 37 iaitu tingkah laku merosakkan imej pelumba basikal.

Sementara itu, Mohd Hariff didenda 50 franc Swiss (RM205) kerana melanggar perkara 30.1 namun masih dibenarkan untuk meneruskan perlumbaan LTdL 2018.

—BERNAMA