Tindakan telus Malaysian Indian Sports Council-Malaysin Indian Football Association (MISC-MIFA) melakukan siasatan awal terhadap tiga pemainnya yang dikatakan terlibat rasuah dan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dicontohi, kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, tindakan drastik yang diambil oleh jawatankuasa integriti bebas persatuan itu patut dijadikan ikutan semua pasukan bola sepak di negara ini.

"Dalam isu ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada MIFA kerana bila mereka sudah tahu ada kemungkinan pemain-pemain mereka terlibat, mereka yang mewujudkan siasatan dahulu.

"Dan berdasarkan kepada siasatan itu, mereka yang membuat laporan kepada SPRM untuk memastikan bahawa sikap ini boleh dihapuskan di peringkat permulaannya," katanya kepada pemberita pada Malam Kutipan Amal MIFA.

Pada 6 April, tiga pemain bola sepak MISC-MIFA - dua pemain tempatan dan seorang pemain import Argentina ditahan reman kerana dipercayai menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada 'bookie' untuk menentukan perlawanan.

Sementara itu, Presiden MISC-MIFA Datuk T. Mohan berkata tiga pemain berkenaan telah direhatkan dan nasib mereka hanya akan ditentukan setelah SPRM selesai menjalankan siasatan.

-- BERNAMA