Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah semua pihak termasuk kementerian perlu berusaha lebih keras dalam membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

Baginda bertitah di samping menjadi agenda penting negara dalam memastikan pembangunan sosio ekonomi yang seimbang dalam pelbagai aspek, aktiviti sukan hendaklah dijadikan sebahagian daripada gaya hidup rakyat yang dapat dilakukan secara individu mahupun berkumpulan.

"Selain menjamin kecergasan fizikal, minda dan kesihatan diri, aktiviti sukan juga menjadi 'kunci' kukuh mengeratkan tali silaturrahim serta muhibah dalam memelihara keharmonian negara," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) Kali Ke-6 di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini, malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kejohanan dwitahunan itu dikelolakan oleh MASKOM bersama Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia membabitkan 994 atlet yang bertanding dalam lapan acara antaranya olahraga, akuatik, hoki, skuasy, bola sepak, tenpin boling dan badminton serta sukan pengenalan iaitu woodball.

SIPMA yang berlangsung dari 21 Nov hingga 27 Nov ini disertai tujuh kontinjen mewakili Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Politeknik (MSP), Majlis Sukan Matrikulasi (MSMM), Majlis Sukan IPTS (MASISWA), Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) dan Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru (MSIPG).

MSSM berjaya dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan diikuti MASUM tempat kedua dan MASISWA ketiga.