Telekom Malaysia Berhad (TM) menafikan beberapa laporan berita bahawa syarikat telekomunikasi itu gagal memenuhi kewajipan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung penajaan Liga Malaysia (Liga-M).

TM dalam kenyataan pada Isnin, berkata syarikat berkenaan dan MFL gagal mencapai persetujuan bersama terhadap beberapa terma asas komersial yang diperlukan bagi kolaborasi dimaksudkan itu menyebabkan kedua-dua pihak memutuskan menamatkan kontrak kerjasama tersebut.

"Walaupun beberapa tarikh akhir dipersetujui bersama dilanjutkan untuk memuktamadkan perjanjian itu, kedua-dua pihak gagal mencapai persefahaman. Dalam hal ini, pada 1 Nov 2018, TM memaklumkan kepada MFL secara bertulis bahawa kerjasama itu sudah berakhir," kata TM.

Syarikat berkenaan, bagaimanapun, berkata mereka akan terus memberi sokongan kepada arena sukan negara dan juga kepada atlet masing-masing.

Jumaat lepas, MFL mengumumkan untuk menamatkan kontrak penajaan bersama TM.


Keputusan itu dibuat selepas mendapat kata sepakat Anggota Lembaga Pengarah dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun dengan MFL pada 29 Jan tahun lepas, dengan nilai penajaan dikatakan berjumlah RM480 juta. -- Bernama