Taekwondo Malaysia (TM) hari ini mempersoalkan apa tujuan sebenar Majlis Sukan Malaysia (MSN) mengeluarkan sukan itu daripada senarai 19 sukan teras kebangsaan.

Timbalan presiden TM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata beliau hairan kerana sehingga hari ini TM langsung tidak diberi peluang dan ruang untuk berbincang dengan MSN.

Menurut Mohd Nazifuddin, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), badan induk sukan olimpik negara itu juga tidak pernah diajak berbincang oleh MSN mengenai pengguguran tiga sukan berkenaan.

Selasa lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan taekwondo antara tiga sukan teras yang digugurkan selain sepak takraw dan angkat berat.

"Saya hairan mengapa sukan taekwondo yang tersenarai dalam acara di Sukan Olimpik perlu digugurkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Nazifuddin berkata terdapat ramai rakan-rakan di MSN negeri yang menyatakan ketidakpuasan hati dengan tindakan pengguguran itu yang dibuat secara mengejut dan tanpa perbincangan serta sokongan daripada MSN negeri.

"Saya rasa kalau hendak menguatkan lagi sukan taekwondo, seharusnya kami diberi peluang, dana dan sokongan supaya kami boleh menghantar seberapa ramai atlet ke luar negara untuk menyertai pertandingan antarabangsa.

"...bukan dengan tindakan mengeluarkan sukan ini daripada senarai sukan di Sukma...berapalah sangat kos untuk menyenaraikan taekwondo dalam Sukma, ia bukanlah kos yang tinggi," katanya.

Beliau menegaskan Sukma ialah tempat untuk anak-anak muda mengasah bakat dan menunjukkan potensi yang ada untuk diangkat menjadi pelapis skuad kebangsaan seterusnya mewakili negara pada masa akan datang.

Alasan pengguguran sukan yang pertama kali dilakukan MSN sejak 2007 itu disebabkan prestasi yang tidak memuaskan, masalah doping dan percakaran dalam persatuan.

Ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, taekwondo menyumbangkan tiga emas menerusi Chew Wei Yan dan Yap Khim Wen dalam acara poomsae manakala Rozaimi Rozali mengungguli acara kyorugi.

Malah atlet taekwondo, Elaine Teoh pernah beraksi di dua pentas Sukan Olimpik iaitu Athens (2004) dan Beijing (2008). -- BERNAMA