SKUAD 'Tok Gajah' kini lengkap sepenuhnya untuk mencabar pasukan-pasukan lain pada saingan Liga Super musim 2019 yang akan bermula tidak lama lagi.

Pengendali pasukan Pahang, Dollah Salleh berkata secara keseluruhan barisan pemain Pahang dilihat lebih mantap, dan bersedia melakar pencapaian lebih tinggi berbanding musim lalu.

"Boleh dikatakan kita memiliki kekuatan lebih mantap, untuk menyaingi pasukan lain pada musim 2019, cuma persiapan kita sedikit terganggu kerana dua pemain import iaitu Dickson Nwakaeme dari Nigeria dan Jose Eduardo atau Ze Love dari Brazil lambat sampai ke sini.

"Justeru, kecergasan kedua-dua pemain belum mencapai tahap sebenar tapi kita percaya ia akan diperolehi sedikit masa lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Pahang 2019 di Dewan Tun Razak di sini pada Ahad.

Bagi musim 2019, Pahang menggunakan jersi utama jenama Umbro berwarna kuning biru manakala jersi kedua berwarna hitam.

Dollah berkata barisan pasukan yang dibentuk kali ini juga memberinya banyak pilihan untuk menurunkan pemain terbaik dalam kesebelasan utama.

"Saya amat berpuas hati dengan pemain tempatan sama ada pemain muda mahupun senior. Pemain muda kita setakat ini mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk menyaingi pemain senior.

"Jika ada yang tidak dapat bermain baik, saya boleh tukar dengan pemain yang lebih menyerlah...ini memberi kelebihan kepada saya dalam mengatur strategi," katanya.

Percaturan Dollah dalam pemilihan pemain musim ini menyaksikan tiada pemain tempatan musim lalu yang digugurkan, manakala bagi kuota pemain import Pahang, selain Dickson dan Eduardo, tiga lagi pemain yang mengisi slot ialah Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulun (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Kapten Pahang, Matthew Davies pula berkata beliau dan rakan sepasukan hanya memfokuskan untuk memberikan persembahan 100 peratus dalam mengharungi musim 2019.

"Kami akan beraksi sehabis baik untuk memperolehi keputusan yang baik. Kombinasi pemain Pahang pula menarik dan amat baik di mana kami memiliki kekuatan seimbang di semua posisi. Saya akan pastikan kerjasama pasukan direalisasikan di atas padang sekali gus mencerahkan peluang Pahang mencipta kejayaan," katanya.

Pada musim lalu, Pahang muncul juara Piala FA, menghuni tangga keempat Liga Super dan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

-- BERNAMA