Berbaki empat hari lagi sebelum memutuskan untuk menyertai saingan Liga M musim depan atau sebaliknya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus bergelumang dalam keresahan susulan krisis kewangan.

Menurut Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail, situasi yang dihadapi pihaknya kini umpama malapetaka besar melanda arena bola sepak negeri.

"Detik ini paling mencabar dan sedih, jika kami tidak dapat bersaing dalam liga tahun depan, ini adalah malapetaka bagi bola sepak Kelantan," kata Rosmadi semasa ditemubual Astro AWANI di sini.

BACA: Annuar Musa saran Menteri Besar terajui KAFA

BACA: Annuar Musa tidak akan berganjak

Tambahnya, KAFA tiada cara selain merayu, meminta dan mengharapkan keajaiban dalam tempoh empat hari akan datang.

"KAFA sudah berusaha bersungguh-sungguh bertemu pelbagai pihak dan merayu serta kita harap ada keajaiban dalam empat hari ini kita dah bekerja mentadbir pasukan dan kita buat untuk rakyat Kelantan," katanya.

Beliau menjelaskan pelbagai langkah telah diambil termasuk pemotongan gaji pemain.

Secara asasnya, skuad Kijang memerlukan RM700,000 setiap bulan untuk bayaran gaji pemain.

Selain itu, KAFA memerlukan RM15 juta untuk membolehkan pasukan itu kekal kompetitif.

Namun persatuan itu terus bergelut mencari sumber kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan presiden pada awal bulan lalu.


Lebih memeritkan apabila penaja iaitu usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida bertindak untuk menggantung penajaan memburukkan lagi keadaan.

"Kami tahu implikasinya (tidak bersaing dalam liga) serta kesan kepada pemain dan penyokong, tetapi pihak di luar juga harus memahami bahawa kita ketiadaan dana untuk bersaing dalam liga akan datang," jelas Rosmadi.