Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018/2019 baru sahaja membuka tirai pertandingan.

Astro selaku penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2018 Rusia di Malaysia sekali lagi tampil dengan kelainan untuk penyiaran EPL kali ini.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata Astro menjadi penyiar pertama di Malaysia untuk menyiarkan siaran langsung EPL dalam paparan 4K UHD.

Choong Khay juga berkata penyiaran ini hanya boleh didapati di rangkaian rakan niaga F&B Astro seperti Restoran Souled Out buat masa ini dan akan dilancarkan kepada pelanggan Astro pada November depan.

“Untuk paparan 4K UHD, terdapat perbezaan yang besar kerana pikselnya hampir empat kali ganda lebih jika dibandingkan dengan HD.

“Jadi penonton dapat melihat visual yang lebih jelas dan palet warna yang lebih baik. Ia seolah-olah mereka berada di stadium ketika menonton perlawanan bola sepak dari kaca televisyen mereka.

“Pengalaman itu sangat menarik jika penonton tidak pernah mengalaminya sebelum ini,” jelas beliau.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay bersama rakan niaga dari Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, Restoran Souled Out dan Samsung Electronics.

Hasil kerjasama dengan syarikat-syarikat elektronik, Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd dan Samsung Electronics, resolusi High-definition television (HDTV) mampu dipertingkatkan empat kali ganda menjadikan butiran lebih jelas sekali gus memberikan pengalaman tontonan yang lebih mengujakan.

“Dengan televisyen AQUOS ciptaan Sharp, kami dapat memberikan secara terperinci warna dan kandungan sebenar kepada rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, Robert Wu.

Ketua Perniagaan Elektronik Pengguna Samsung Electronics, Jimmy Tan Chee Wee berkata kerjasama dengan Astro merupakan satu peluang hebat dalam menyampaikan kandungan terbaik kepada rakyat Malaysia.

“Ia adalah satu peluang yang baik bagi kami sebagai peneraju dalam pasaran TV, terutamanya dalam segmen UHD.

“Kerjasama ini memberikan peluang yang baik kepada Samsung dan Astro untuk membawa bukan sahaja televisyen terbaik tetapi juga kandungan terbaik kepada pengguna Malaysia,” kata Jimmy.




Sementara itu, ketua jurulatih City Youth Academy, Mohd Sulaiman Gerrard Abdullah berkata pengalaman menonton perlawanan antara Liverpool dan West Ham di Restoran Souled Out iaitu rakan niaga F&B Astro pada malam Ahad amat menyeronokkan.

“Amat mengagumkan dapat menonton perlawanan seolah saya berada di stadium tersebut. Ia merupakan satu pengalaman yang baik untuk penonton dan juga penyokong-penyokong Liverpool,” kata Mohd Sulaiman.

Selain EPL, Astro juga bakal membawakan acara perlumbaan Formula Satu (F1) dan filem-filem pecah panggung dalam versi 4K UHD.

Layari www.astro.com.my/4kuhd untuk butiran lanjut.