Atletico Madrid masih mempertimbangkan sama ada mahu menawarkan kontrak baharu kepada penyerang kegemaran Fernando Torres.

Menurut ejen Torres, Jose Antonio Martin ataupun 'Peton', dia mendedahkan sebanyak lapan tawaran lumayan telah dikemukakan kepada bekas penyerang Liverpool dan Chelsea itu.

Tempoh pinjaman Torres daripada AC Milan akan berakhir sebaik tamat musim 15/16 ini dan Peton mahu pihak pengurusan Atletico memberi kata putus secepat mungkin.

"Fernando dan (Diego) Simeone harus membincangkan isu ini. Semestinya, penyokong setia Atletico mahu Torres kekal di Vicente Calderon.

"Fernando mempunyai tawaran daripada seluruh dunia dan satu tawaran bakal menyaksikan dia menjadi pemain paling mahal dalam dunia," katanya.

Pada masa yang sama, Peton menyifatkan penyelesaian harus datang daripada pengendali dan bekas rakan sepasukan, Simeone.

"Simeone perlu memberitahu Fernando sama ada kelab ini bergantung padanya atau sebaliknya.

"Tidak boleh dinafikan bahawa para penyokong mahu Fernando kekal," tambahnya.