SEDAR keputusan seri cukup menobatkan The Red Warriors (TRW) sebagai juara, namun ketua jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh, tetap mahukan anak buahnya memburu kemenangan kedua menentang kelab Thailand, Ratchaburi FC, dalam aksi terakhir Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Sathit yakin dengan kemampuan pemain TRW dan menegaskan misi utama malam ini adalah muncul pasukan pertama menjulang kejuaraan dalam saingan tiga penjuru itu.

“Biarpun keputusan seri sudah cukup untuk kami menjulang kejuaraan, fokus utama TRW adalah menewaskan Ratchaburi FC. Saya tidak berani cakap berapa peratus Kelantan boleh menang tetapi sehingga kini peluang itu cukup besar.

“Pemain sudah menunjukkan aksi terbaik dalam perlawanan pertama (menang ke atas Persija Jakarta) dan kini selangkah lagi untuk mencipta sejarah menjulang kejuaraan di Bukit Jalil,” katanya.

Sathit juga tidak mahu anak buahnya terlalu yakin kerana Ratchaburi FC pasti akan bangkit menebus kekecewaan kalah 1-3 kepada Persija Jakarta, 13 Januari lalu.

“Ratchaburi sebuah pasukan yang memiliki pemain yang bagus dan saya fikir mereka tidak akan mudah menyerah kalah.

"Sudah pasti mereka tidak mahu balik dengan tangan kosong dan menduduki tangga tercorot kumpulan. Saya jangkakan satu pertemuan sengit malam ini,” katanya.

Ditanya mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan, Sathit menjelaskan tidak banyak perubahan yang bakal dilakukan, cuma mungkin kehilangan pertahanan kiri, Mohamad Azwan Aripin.

“Mohd Azwan mungkin diketepikan akibat demam dan rasanya tidak ada masalah untuk mencari pengganti (pertahanan kiri). Mungkin, Bruno Lopes akan diturunkan dahulu selepas beraksi baik dalam perlawanan menentang Persija Jakarta,” katanya.