DAVID Beckham satu nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan lagi. Bukan sekadar mendapat perhatian ketika beraksi di atas padang malah kehidupan peribadi jejaka berusia 43 tahun ini sentiasa jadi perhatian media dan peminat.

Bekas kapten skuad England ini mencipta impak besar dalam kancah bola sepak Amerika Syarikat.

Keputusan luar jangkanya menyertai LA Galaxy pada 2007 berjaya meningkatkan status Liga Bola Sepak Major (MLS).

Sebagai penghargaan, Beckham menerima pengiktirafan tertinggi daripada LA Galaxy dengan pembinaan tugu khas yang bakal berdiri megah di luar stadium kelab bola sepak itu.

Pengiktirafan ini menjadikan bekas bintang tengah Manchester United dan Real Madrid ini sebagai pemain pertama menerima pengiktirafan seumpama itu dalam sejarah MLS.

Tugu itu akan diperkenalkan di Dignity Health Sports Park sebelum perlawanan pertama LA Galaxy musim ini menentang Chicago Fire pada 2 Mac ini.

Sepanjang bersama LA Galaxy, Beckham tidak terlepas daripada kontroversi. Dia pernah dikecam penyokong LA Galaxy berikutan keputusannya bermain secara pinjaman bersama AC Milan pada 2009 dan 2010.

Bagaimanapun Beckham menutup mulut pengkiritiknya apabila membantu kelab itu menjulang kejuaraan MLS dua kali berturut-turut pada 2011 dan 2012.

Beckham kini adalah pemilik bersama kelab Inter Miami yang akan menyertai MLS pada tahun 2020.