DUA pingat emas yang dicapai pada hari kesembilan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 melalui boling padang dan gimrama semalam mencerahkan kembali sasaran kontinjen negara untuk berada dalam kalangan 10 negara terbaik.

Buat masa ini, kutipan lima emas meletakkan Malaysia berada di tangga ke-12 dalam senarai kedudukan pingat.

Kini, hanya dua lagi emas perlu dicari kontinjen negara untuk mengatasi pungutan enam emas dalam temasya di Glasgow, empat tahun lalu.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar memandang situasi itu dengan positif sambil mengharapkan akan ada emas lagi mampu dijelmakan, terutama menerusi acara badminton.

"Ya, kami berada dalam kelompok 10 terbaik dan kini badminton tampak bakal menghadiahkan pingat lagi buat Malaysia," kata Tunku Imran selepas menyaksikan kejayaan emas keempat negara menerusi atlet boling padang, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji, dalam acara berpasangan wanita, semalam.

"Ya, saya mempunyai keyakinan yang sangat tinggi bahawa mereka mampu melakukannya kerana mereka adalah pejuang.

"Sebenarnya, ia membuktikan bahawa atlet wanita Malaysia tidak mudah berputus asa dan sentiasa menyumbang dalam meraih pingat," tambahnya.