SEMESTINYA kekalahan di pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah sesuatu yang amat sukar untuk ditelan skuad Tottenham Hotspurs apatah lagi pengendalinya, Mauricio Pochettino.

Tewas 0-2 kepada seteru senegara, Liverpool, bagaimanapun Pochettino tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya sepanjang musim ini yang berjaya mengharungi pelbagai rintangan untuk sampai ke Madrid.

“Saya rasa sangat berbangga dengan usaha mereka, bagaimana kami berjuang. Kami tidak bernasib baik, bolos satu gol daripada penalti.

“Untuk bermula dengan ketinggalan 1-0 dari permulaan permainan adalah sangat sukar, kami mengubah rancangan tetapi kami sangat berbangga dengan para pemain dan penyokong. Kami boleh menjadi optimistik,” katanya kepada BT Sport.

Beliau mengakui penalti seawal minit kedua adalah keadaan yang mereka tidak langsung bersedia untuk menghadapinya.

Optimistik menjadi tetapan minda pengendali kelahiran Argentina itu apabila melihat perjalanan Liverpool sehingga berjaya menjulang gelaran terbesar bola sepak Eropah pada awal pagi Ahad itu sebagai teladan untuk dicontohi.

“Secara mentalnya memang amat sukar, ia tentang belajar dan pengalaman, sepertimana Liverpool berada pada kedudukan ini tahun lepas.

“Saya sangat berbesar hati untuk menguruskan sekumpulan pemain ini, tetapi tahniah kepada Liverpool.

Tottenham Hotspurs, yang langsung tidak berbelanja untuk pemain baharu musim ini, mengorak langkah ke final di Madrid dengan penuh dramatik.

Mereka melepasi peringkat kumpulan sebagai naib juara Kumpulan B di belakang Barcelona, kemudian mengetepikan cabaran Borussia Dortmund, mara dengan kelebihan gol tempat lawan berdepan Manchester City, sebelum bangkit dengan penuh dramatik menentang Ajax Amsterdam.

Pertembungan dengan The Reds menyaksikan Spurs lebih menguasai permainan, namun gol awal dan barisan pertahanan kukuh Liverpool sukar untuk diatasi kelab London itu.

“Standardnya sangat tinggi, ia tidak cukup hari ini. Memalukan. Anda mahu alami semua ini sekali lagi dan mengulanginya. Ini adalah permainan terbaik di dunia selepas Piala Dunia.

“Ia tentang mencuba, percaya dan membina perjalanan supaya ia berlaku lagi sepantas mungkin,” katanya.