JUARA flyweight wanita UFC Valentina Shevchenko sekali lagi mengekalkan gelaran dunianya selepas menewaskan Jennifer Maia dalam acara UFC 255 di Las Vegas, sebentar tadi.

Shevchenko, 32, dari Kyrgyzstan mengalahkan petarung dari Brazil menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).

Kedua-dua petarung memberikan saingan yang sengit antara satu sama lain sepanjang perlawanan tersebut.

Maia, yang merupakan pakar dalam Brazilian Jiu-jitsu, mempamerkan aksi ‘ground game’ yang mengagumkan.

Namun, kemahiran ‘striking’ yang ditonjolkan Shevchenko tidak mampu ditandingi oleh Maia.

Meskipun bertahan sehingga ke pusingan terakhir iaitu pusingan kelima, mata kemenangan jelas memihak kepada Shevchenko.

Keputusan itu melebarkan rekod profesional Shevchenko kepada 20 kemenangan, dan tiga kekalahan (20-3).

Ini merupakan kali keempat Shevchenko berjaya mempertahankan kejuaraannya.

Kali terakhir ialah apabila dia menewaskan Katlyn Chookagian menerusi TKO pusingan dalam acara UFC 247 di Houston pada Februari lalu.

Sementara itu, dalam acara utama pula, juara flyweight UFC Deiveson Figueiredo turut berjaya mengekalkan kejuaraanya selepas menumpaskan Alex Perez dari Amerika Syarikat.

Figueiredo menang menerusi kuncian (submission) pada minit 1:57 pusingan pertama.

Petarung dari Brazil itu kini memegang rekod MMA sebanyak 20 kemenangan dengan satu kekalahan.