Berita  | Sukan

UFC Fight Night sah ke Singapura buat tahun ketiga berturut-turut

UFC Fight Night sah ke Singapura buat tahun ketiga berturut-turut
Pengumuman tentang pertarungan yang bakal memenuhi 'fight card' di Singapura ini akan diumumkan pihak UFC dalam beberapa minggu akan datang. - Gambar fail
UFC selaku organisasi seni bela diri campuran (MMA) terbesar dunia, sekali lagi mengesahkan penganjuran acara UFC Fight Night di Singapura, tahun ini.

Acara yang akan dibintangi petarung MMA bertaraf dunia itu bakal diadakan pada 26 Oktober ini di Stadium Tertutup Singapura di Kallang.

Penganjuran acara ini buat tahun ketiga berturut-turut mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara pihak UFC dan Lembaga Pelancongan Singapura serta Hub Sukan Singapura.
"Singapura merupakan pasaran penting bagi UFC kerana kami ingin mengukuhkan perniagaan kami di peringkat antarabangsa dan terus mengembangkan sukan MMA di Asia", kata Kevin Chang, Naib Presiden Kanan UFC Asia Pasifik.

"Singapura mengalu-alukan UFC dengan tangan yang terbuka dan kami berterima kasih atas sokongan daripada rakan kongsi seperti Lembaga Pelancongan Singapura dan Hub Sukan Singapura. Kami tidak sabar untuk membina kejayaan di Kota Singa ini dan menganjurkan UFC Fight Night yang luar biasa untuk peminat kami."

Hubungan baik UFC dan pihak Singapura bermula dengan penganjuran UFC Fight Night pada tahun 2017 yang menyaksikan pertarungan acara utama di antara bekas juara wanita bantamweight UFC, Holly Holm dan Bethe Correia.

Pada 2018 pula UFC sekali menghiburkan peminatnya di rantau Asia Tenggara dengan menyajikan pertarungan utama antara petarung berpengalaman Donald Cerrone dan petarung muda dari England, Leon Edwards.

Pengumuman tentang pertarungan yang bakal memenuhi 'fight card' di Singapura ini akan diumumkan pihak UFC dalam beberapa minggu akan datang.

Peminat MMA bukan sahaja dari Singapura malah seluruh rantau Asia Tenggara termasuk dari Malaysia pasti teruja dan ternanti-nanti siapakah petarung yang akan membuat kemunculan di Singapura, Oktober nanti.

Tag: UFC, UFC Fight Night, UFC Singapura, UFC Fight Night SIngapore, MMA, mixed martial arts, seni bela diri campuran, Kevin Chang, Holly Holm, Bethe Correia, Asia Tenggara


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.