PETARUNG muda MMA dari England, Leon 'Rocky' Edwards berjaya menewaskan petarung berpengalaman dari Brazil, Rafael dos Anjos (RDA) dalam pertarungan bagi divisyen welterweight.

Pertarungan yang berlangsung dalam acara UFC on ESPN 4 yang berlangsung pada Ahad, menyaksikan Edwards mendominasi pertarungan dari pusingan pertama hingga pusingan terakhir, sekali gus berjaya mendapat kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri.

Bagi Edwards, ini merupakan kemenangan kelapan berturut-turut dalam divisyen welterweight, manakala bagi RDA pula, ia adalah kekalahan ketiga dalam lima pertarungan terakhirnya.

Namun, apa yang menarik ialah semasa sesi temu bual pasca pertarungan. Edwards tanpa menyembunyikan apa-apa, mencabar Jorge Masvidal untuk menyahut cabaran untuk bertarung dengannya.

Sebagai rekod, semasa acara UFC Fight Night 147 di London pada Mac lepas, Edwards dan Masvidal terlibat didalam satu insiden pergaduhan di belakang pentas.

Sejak dari kejadian itu, Edwards dilihat lantang mengkritik Masvidal dan sering kali mencabar Masvidal untuk bertarung dengannya.

Masvidal yang baru menewaskan Ben Askren dalam masa lima saat sahaja pada awal Julai, terus memberikan reaksinya terhadap cabaran dark Edwards.

"Besar perbezaannya antara 'menidurkan' petarung di ranking yang tinggi dengan menidurkan para penonton", kata Masvidal menerusi laman Twitternya.

Masvidal dipercayai menyindir perlawanan Edwards dan RDA yang dianggapnya bosan.

"Biar saya jelaskan, saya dijanjikan pertarungan kejuaaran jika berjaya menewaskan Askren. Jadi saya ingin janji itu ditunaikan. Jadi jangan cabar saya selagi saya tidak dapatkan tali pinggang kejuaraan," kata Masvidal lagi.

Setakat ini, masih belum ada kata putus dari UFC tentang perlawanan seterusnya bagi kedua-dua Masvidal dan Edwards.