PETARUNG kontroversi dari Amerika Syarikat, Colby Covington berjaya meraih kemenangan dalam pertarungan terbarunya menentang bekas juara kelas welterweight, Tyron Woodley.

Persembahan dominan sepanjang empat pusingan akhirnya terpaksa ditamatkan pengadil perlawanan selepas Woodley mengalami kecederaan tulang rusuk sekali gus memberikan kemenangan secara TKO buat Covington.

Apa yang menarik, semasa sesi temu ramah secara langsung bersama saluran ESPN, Covington menerima panggilan peribadi oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Covington yang sememangnya menjadi penyokong kuat Trump nampak begitu teruja dan terus menerima panggilan dan meneruskan perbualan telefon tersebut selama dua minit.

"Saya bangga dengan kamu, saya adalah peminat kamu dan saya amat berbangga," kata Trump kepada Covington.

"Kamu seorang yang kuat, kamu mempunyai semangat yang kental. Jadi sekarang kamu perlu menang pada pertarungan yang seterusnya dan teruskan menang buat masa yang lama, simpan kejuaraan itu untuk masa yang lama.

"Tetapi kamu adalah istimewa. Saya juga menghargai sokongan anda malam ini. Saya peminat kamu dan kamu juga peminat saya," kata Trump lagi.

Selain peminat Trump, Covington juga menjadi petarung UFC pertama dijemput ke Oval Office di White House oleh Presiden Trump.

Ia susulan kemenangan Covington ke atas Rafael dos Anjos pada June 2018 sekali gus mengangkat Covington sebagai juara interim welterweight pada ketika itu.

Covington yang menduduki ranking kedua kelas welterweight, kini dalam usaha mendapatkan pertarungan merebut kejuaraan welterweight buat kali kedua.

Pada Disember lepas, Covington diberi peluang mencabar kejuaraan tersebut yang dipegang Kamaru Usman namun tewas menerusi TKO pada pusingan kelima.