PETARUNG flyweight wanita UFC Valentina Shevchenko berjaya mengekalkan kejuaraan dunianya selepas menewaskan Liz Carmouche dalam acara UFC Fight Night 156 di Montevideo, Uruguay, sebentar tadi.

Shevchenko, 31, dari Kyrgyzstan menundukkan pencabarnya dari Amerika Syarikat menerusi keputusan sebulat suara selepas lima pusingan.

Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung dalam keadaan berjaga-jaga, sekali-sekala melepaskan serangan antara satu sama lain.

Shevchenko dan Carmouche mula bertindak agresif pada pusingan kedua dengan tendangan serta pukulan padu oleh kedua-dua jaguh.

Shevchenko berjaya menjatuhkan Carmouhe pada minit akhir pusingan ketiga, sambil membuat percubaan kuncian, namun diselamatkan oleh 'buzzer' penamat.

Carmouche sekali lagi dijatuhkan pada pusingan keempat, namun kali ini dia berjaya bangkit semula.

Pusingan kelima pula menyaksikan pertarungan 'stand up' pada minit awal, diikuti sekali lagi dengan percubaan kuncian oleh Shevchenko pada dua minit terakhir pusingan tersebut.

Perlawanan dibawa ke keputusan juri yang menyaksikan mata kemenangan diberikan kepada Shevchenko.

Ini merupakan kali kedua Shevchenko yang kini memegang rekod 18-3, mempertahankan kejuaraannya.

Kedua-dua petarung ini pernah bertemu pada 2010 di C3 Fights, yang berakhir dengan kekalahan oleh Shevchenko melalui knockout teknikal (TKO).

Pada Jun lalu, Shevchenko berjaya menumbangkan Jessica Eye dari Amerika Syarikat menerusi keputusan 'knockout' pada minit 0:26 pusingan kedua.

Shevchenko meraih kejuaraan tersebut pada Disember tahun lalu selepas menewaskan Joanna Jedrzejczyk dari Poland.