Penginapan bagi sejumlah 580 atlet dan pegawai Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) di sini akan dipindahkan ke kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Tapah yang terletak kira-kira 63km, dari sini.

Pihak penganjur terpaksa membuat keputusan drastik itu berikutan keadaan dan persekitaran di SIS didapati tidak kondusif sehingga memaksa pasukan badminton dari Pulau Pinang dan beberapa negeri lain terpaksa mencari penginapan alternatif di hotel di sekitar bandar raya ini.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata kerajaan negeri selaku pihak penganjur sukan edisi ke-19 itu memohon maaf atas kekangan dan kesilapan yang berlaku.

"Buat waktu ini, fokus kami adalah untuk memastikan atlet terlibat dapat menginap dengan selesa selain tidak menggangu fokus mereka," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Beliau berkata penukaran venue penginapan rasmi di SIS terpaksa diambil selepas isu ketidakpuasan hati terhadap kemudahan dalam asrama SIS seperti almari, kipas dan pintu bilik rosak dan tahap penyelenggaraan yang tidak memuaskan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam.

Selain sebahagian atlet terdiri daripada pemain badminton lelaki, SIS juga menempatkan atlet boling dan kriket.

Howard berkata kampus UiTM Tapah dipilih kerana persekitaran yang kondusif dan kemudahan yang lebih sesuai untuk atlet.

Katanya, beliau akan berbincang dengan ketua kontinjen Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus hari ini bagi memastikan isu perpindahan berkenaan dipersetujui kedua-dua pihak.

"Bagi kontinjen dari Negeri Sembilan dan Kedah yang menghadapi masalah sama, perbincangan akan diadakan bagi membolehkan mereka menginap di situ (UiTM) juga," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak penganjur akan menanggung kos tambahan termasuk pengangkutan berikutan perjalanan dari Tapah ke venue pertandingan di Ipoh mengambil masa kira-kira 40 minit.

Mengulas mengenai status Padang Bandaran Parit Buntar yang menjadi venue bagi acara bola sepak, Howard berkata ia berada dalam keadaan memuaskan termasuk fasiliti membabitkan lampu limpah dan astaka.

Sukma 2018 akan berlangsung dari 12 hingga 22 Sept ini dengan mempertandingkan sebanyak 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

-- BERNAMA