KUALA LUMPUR:Berdekad lamanya, suara emas beliau menjadi teman akrab rakyat Malaysia khususya ketika mengulas perlawanan bola sepak.

Barangkali, generasi muda hari ini tidak begitu mengenali wajah dan suaranya, namun, hakikatnya, Zulkarnain Hassan merupakan ikon terbilang yang pernah dilahirkan oleh gelanggang sukan tanah air.

Terlalu besar dan signifikan sekali sumbangan Zulkarnain pada perpaduan khususnya sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Beliau merupakan antara pengulas sukan terbilang yang tiada tolok bandingnya.

Slogan Majulah Sukan Untuk Negara yang diperkenalkan beliau masih relevan dalam konteks persekitaran hari ini.

Bahkan, ulasan beliau yang berbunyi “dapat kepada Hasan, masih lagi Hasan, cucuk Hasan, kembali James, peluang untuk James! James! Gol!!'” ketika mengulas perlawanan pasukan bola sepak negara dalam pertandingan kelayakan Sukan Olimpik pada 4 April 1980 di Stadium Merdeka masih terngiang-ngiang sehingga sekarang.

Zulkarnain telah menyuntik inspirasi bukan sahaja kepada pemain bola sepak, bahkan penyokong dan seluruh rakyat Malaysia yang mengenalinya.

Namun hari ini, Zulkarnain yang berusia 82 tahun dipanggil mengadap Yang Maha Esa. Beliau dijemput ke negeri abadi, pergi membawa bersama sejarah, kejayaan dan kegemilangan yang pernah dilakar ketika hayatnya.

Gelanggang sukan berduka. Allahyarham Zulkarnain menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 11 pagi Khamis.


Dilahirkan pada 8 Januari 1938 di Johor, Allahyarham Zulkarnain disifatkan sahabat seperjuangannya, Datuk Rahim Razali sebagai seorang pengulas sukan sejati yang tiada tandingan.

“Suara dan ulasan beliau memberikan inspirasi serta menaikkan semangat penyokong dan sekali gus menyatukan kita (rakyat Malaysia) melalui bola sepak. Beliau merupakan seorang pengulas sukan sejati,” kata Rahim ketika bercerita mengenai karakter Allahyarham Zulkarnain dalam majlis Anugerah Meletop Era pada 2016.


 
Dalam majlis anjuran stesen televisyen satelit, Astro itu, Allahyarham Zulkarnain menerima Anugerah Khas Meletop Era sebagai menghargai sumbangan besar personaliti televisyen negara.


Gambar kenangan Allahyarham Zulkarnain Hassan ketika usia mudanya.

Bagi Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Datuk Jasni Shafie, rakyat Malaysia pastinya akan merindui kata-kata “dapat kepada Hasan, masih lagi Hassan, cucuk Hassan, kembali James.”

Menurutnya, sepanjang mengenali Allahyarham, Jasni sifatkan arwah sebagai seorang pengulas yang ‘cool’ namun sentiasa hadir dengan fakta dan pelbagai maklumat untuk penonton.

“Beliau sangat dihormati dalam kalangan wartawan sukan dan pengulas sukan. Bila kita imbas kembali sejarah negara layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, kita mesti dengar suara beliau.

“Masih terngiang-ngiang lagi ulasan beliau, cucuk Hassan. Saya rasa ia akan jadi kenangan, nostalgia bersejarah bagi dunia penyiaran dan dunia bola sepak negara kita,” katanya kepada Astro AWANI.

Allahyarham Zulkarnain Hassan menghadap Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah dalam satu majlis sukan.

Bercerita mengenai legenda penyiaran itu pula, pengulas sukan Astro Arena, Zainal Abidin Rawop menyifatkan, pemergian Allahyarham Zulkarnain merupakan kehilangan yang cukup besar bagi gelanggang sukan tanah air.

Menurut Zainal, Allahyarham merupakan antara individu yang beliau jadikan sebagai mentor kerana sifatnya yang tidak kedekut berkongsi ilmu selain mendedahkan rahsia menjadi seorang pengulas sukan terbaik.

Bahkan, kata Zainal, jasa paling besar Allahyarham buat Zainal yang tidak akan dilupakan ialah membuka ruang dan kesempatan kepadanya untuk berkecimpung dalam gelanggang sukan.

"Sebenarnya, Allahyarham yang buka peluang untuk saya berkecimpung dalam bidang ini ketika menjawat sebagai Pengerusi Kelab Sukan RTM.

"Tanpa sengaja, saya juga diberi peluang oleh Allahyarham untuk menjadi pengulas sukan ketika perlawanan bola sepak pada tahun 1986 di Stadium Merdeka apabila salah seorang pengulasnya tidak hadir. Itu antara pengalaman dan kenangan yang cukup bermakna buat saya," kata Zainal berkongsi pengalaman mengenali Allahyarham Zulkarnain.

Allahyarham Zulkarnain meninggalkan isteri, Sabariah Ibrahim dan sepasang anak serta empat cucu.
Pengulas legenda yang memiliki suara emas itu pernah menyandang jawatan Ketua Unit Sukan ketika berkhidmat dengan RTM.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara selepas solat Asar.

Selamat jalan legenda. Berehatlah kamu di negeri abadi.

Al-Fatihah