Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta semua pihak supaya tidak memperbesarkan isu pakaian gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi ketika beraksi dalam acara gimnastik pada Sukan SEA ke-28 di Singapura baru-baru ini.

"Kita tidak boleh berkompromi apabila melibatkan hukum Islam tetapi pada masa sama tidak adil untuk menghukum Farah Ann kerana pakaian yang digunakan dalam acara itu," katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mungkin sudah masanya isu pakaian bagi gimnas dibincangkan bersama pelbagai pihak berkepentingan agar ia lebih sesuai dengan wanita Islam.

Mas Ermieyati berkata isu tersebut seharusnya ditangani dengan baik agar tidak menjatuhkan maruah seseorang kerana Farah Ann beraksi dalam acara tersebut demi negara dan menyumbangkan pingat emas dalam acara gimnastik.

Kritikan ke atas gimnas itu bermula apabila sebuah stesen televisyen swasta memuat naik gambar yang dikatakan menjolok mata atau kurang sopan, selepas beliau memenangi pingat emas tersebut.