Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan bahawa atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi atau 'Usain Bolt Malaysia' tidak hanya akan menjadi jaguh kampung.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mencari peluang termasuk menghantar Muhammad Azeem menyertai program latihan di peringkat antarabangsa.

“Usain Bolt Malaysia ini sangat berbakat saya telah mengarahkan pihak MSN dan ISN untuk memberikan bantuan secukupnya untuk melatih beliau bukan sahaja untuk bawah 14 dan 15 tahun, tetapi untuk tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

“Kalau ada program-program profesional, kita akan minta MSN dan ISN (pertimbangkan), seperti program podium yang boleh diserapkan, kita akan serapkan lebih awal. Kalau ada program latihan luar negara, kita akan hantar beliau,” katanya pada sidang media di KBS, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, tumpuan kementerian kini ialah kepada memastikan atlet muda negara, khususnya dalam sukan pecut, menyerlah di peringkat Olimpik.

“Kita ada Khairul Hafiz Jantan (pelari pecut negara) tetapi kita perlu melatih mereka lebih, khususnya golongan muda, supaya mereka dapat melangkah ke hadapan lebih cepat.

“Kita akan melatih beliau (Muhammad Azeem) sebaik mungkin,” katanya.

BACA: Macam 'The Flash': Remaja 15 tahun ini bakal jadi Usain Bolt Malaysia?

Terdahulu, Muhammad Azeem, 15 tahun, mencuri tumpuan netizen termasuk Syed Saddiq selepas remaja itu menyertai acara 100m di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019 (MSSM).

Larian anak muda itu disifatkan sebagai “The Flash” kerana begitu pantas sehingga meninggalkan jauh pelari-pelari lain.

Beliau berjaya memenangi kejohanan tersebut dengan mencatatkan larian 10.63 saat (s).

Pada Mac lalu, Muhammad Azeem turut memecahkan dua rekod temasya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019 di Kompleks Sukan Ilagan di Bandar Ilagan, Filipina.

Selain Muhammad Azeem, bakat muda yang perlu diberi tumpuan oleh kementerian terbabit adalah
atlet kelahiran Sarawak, Jonah Chang Rigan meleburkan rekod acara lontar peluru pada kejohanan yang sama.