Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau akan mengundur diri sebagai presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) sekiranya ahli kelab berkenaan tidak mengutamakan sensitiviti masyarakat setempat.

Beliau berkata dengan kedudukan kelab golf berkenaan yang dikelilingi kawasan masjid dan taman perumahan majoritinya dihuni masyarakat Islam, adalah tidak sesuai arak dijual di situ.

"Saya sudah cakap dua kali dalam mesyuarat (kelab berkenaan). Jika nak jual, saya akan undur diri. Lagi pun saya tidak bermain golf cuma saya diminta jadi presiden SIGC dan saya terima.

"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam negeri, saya tidak boleh berada di situ (dalam jawatankuasa kelab berkenaan jika arak dijual)," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita pada Khamis bahawa ahli kelab SIGC tidak setuju dengan tindakan pengurusan melarang penjualan arak di kelab berkenaan, dan akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), Ahad ini.

Aminuddin berkata penjualan arak bukanlah memberi pulangan besar kepada pendapatan SIGC, malah sebelum ini tiada penjualan arak dilakukan di kelab berkenaan.

"Setiap kali (perbincangan) isu arak, saya keluar (daripada mesyuarat) dan saya serahkan kepada jawatankuasa untuk membuat keputusan. Kita tak ganggu pun keputusan jawatankuasa dan ahli yang berbayar," katanya.

Aminuddin turut menegaskan bahawa beliau tidak bermusuhan dengan sesiapa dan hanya mencadangkan agar arak tidak dijual di kelab berkenaan bagi menjaga sensitiviti masyarakat sekeliling.

SIGC setakat ini memiliki 1,000 ahli termasuk dalam kalangan penjawat awam.

-- BERNAMA