Juara dunia sembilan kali MotoGP dari Itali, Valentino Rossi mengakui beliau takut untuk berlumba dengan Marc Marquez dari Sepanyol.

Perkara itu diluahkan selepas insiden pelanggaran antara beliau dengan Marquez yang menyaksikan beliau sekadar menduduki tempat ke-19 akibat terjatuh.

"Saya takut berlumba di atas litar bersama Marquez.

"Marquez melanggar saya dengan sengaja, bukan satu kesilapan. Jika anda sudah memulakan cara ini, ia akan membawa sukan ini ke tahap yang membahayakan," jelas beliau seperti yang dipetik BBC.

Tambah beliau, Marquez telah memusnahkan sukan permotoran.

Selepas kejadian itu, Marquez dilihat cuba berjumpa Rossi untuk meminta maaf tetapi dihalang pegawai Movistar Yamaha.

Marquez turut menjelaskan, pelanggaran itu adalah satu kejadian yang tidak disengajakan malah sepanjang kariernya, beliau sentiasa mengelak apabila menghampir mana-mana pelumba.

Dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Argentina baru-baru ini, Marquez daripada pasukan Honda terlanggar Valentino Rossi ketika cuba memotongnya.

Berikutan kemalangan itu, Marquez telah didenda oleh MotoGP dengan 30 mata ditolak menyebabkan beliau berada pada kedudukan ke-18.