ERNESTO VALVERDE menjelaskan Barcelona hanya memberikan tumpuan untuk merangkul gelaran LaLiga hari ini, berbanding memikirkan mengenai aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu Liverpool, awal pagi Khamis depan.

Barca mampu meraih gelaran pertama berdepan Levante ketika mendahului sembilan mata ke atas pencabar terdekat, Atletico Madrid, ketika saingan berbaki empat perlawanan.

Pencabar takhta Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool akan berkunjung ke Nou Camp, awal pagi Khamis ini untuk aksi separuh akhir pertama dan Valverde berharap dapat memastikan kejuaraan LaLiga lebih awal sebelum mengalih tumpuan kepada saingan UCL.

Baca: Klopp belum fikir mengenai Barcelona

"Kami sentiasa memantau persembahan mereka, kami menyaksikan perlawanan Liverpool sejak beberapa minggu lalu," kata Valverde.

"Tetapi kami perlu fokus kepada perlawanan hari ini. Kami mahu aksi ini menjadi yang terakhir untuk memastikan kejuaraan LaLiga. Masih terdapat masa untuk memikirkan tentang Liverpool.

"Saya akan membuat perubahan dalam tempoh empat hari sebelum berdepan Liverpool.

"Liverpool turut bersaing mengejar takhta EPL, mereka mempunyai kelebihan satu hari untuk membuat persiapan. Pertembungan dua aksi separuh akhir ini akan menampilkan persembahan yang terbaik daripada kedua-dua pasukan."

"Atletico Madrid menguji kami sehingga penghujung musim dan kami mahu memastikan kejuaraan dapat disempurnakan dengan lebih awal.