Pemain tengah Portugal, Silvestre Varela menyelamatkan maruah Portugal yang hampir dimalukan Amerika Syarikat dalam perlawanan Kumpulan G di Arena da Amazonia di Manaus yang berkesudahan seri 2-2.

Portugal yang menurunkan Cristiano Ronaldo yang sedang bergelut dengan kecederaan nampak menguasai perlawanan dan hasilnya Portugal berjaya mendahului seawal minit kelima menerusi pemain tengah Manchester United, Nani.

Kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat separuh masa pertama,

Pada babak kedua, semangat menyerang pasukan Amerika Syarikat tidak mudah luntur apabila percubaan-percubaan berbahaya mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke 64, apabila Jermaine Jones menyamakan kedudukan.

USA
(AP Photo/Themba Hadebe)

Beliau merembat bola hantaran daripada rakan sepasukan Graham Zusi menewaskan penjaga gawang Portugal, Beto.

Zusi sekali lagi menjadi pemusnah Portugal apabila sekali lagi melorongkan bola kepada penyerang Amerika Syarikat, Clint Dempsey untuk Amerika Syarikat mendahului 2-1.

Namun, ketika pasukan Amerika Syarikat sudah hampir untuk layak ke peringkat pusingan kalah mati, hasrat mereka digagalkan oleh jaringan minit akhir oleh pemain gantian Silvestre Varela yang bijak menanduk masuk bola hantaran ketua pasukan, Cristiano Ronaldo.

Keputusan tersebut menyaksikan Amerika Syarikat berada di tangga kedua Kumpulan H dan berkongsi mata dengan pendahulu kumpulan, Jerman manakala Portugal pula masih menghuni tangga terbawah kumpulan dan berkongsi satu mata dengan Ghana.

Peluang semua pasukan dalam Kumpulan G ini masih lagi terbuka.

Amerika Syarikat bakal berdepan tugasan sukar apabila dijadualkan bertemu Jerman dalam perlawanan terakhir kumpulan pada Jumaat ini manakala Portugal pula akan menentang Ghana.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Jermaine Jones (Amerika Syarikat).