PEMAIN Leicester City, Vicente Iborra bakal berhijrah ke Villarreal selepas bersetuju menandatangani kontrak empat tahun enam bulan bersama kelab bola sepak Sepanyol itu.

Pemain kelahiran Sepanyol berusia 30 tahun itu membuat 37 penampilan untuk the Foxes sejak menyertai pasukan itu dari Sevilla dengan bayaran £12.5 juta pada Julai 2017.

Bagaimanapun, Iborra hanya disenaraikan sebagai kesebelasan utama Leicester sebanyak tiga kali musim ini, hilang tempatnya di bahagian tengah kepada Namplays Mendy dan Wilfred Ndidi di bawah pengurus Claude Puel.

Nilai bayaran perpindahannya dari Leicester ke Villarreal pula tidak didedahkan kedua-dua pihak.

Leicester dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Iborra atas sumbangannya sepanjang dua musim bersama kelab itu.

Sementara Villarreal berpendapat Iborra adalah seorang pemain tengah yang mahir berebut bola di udara dan mempunyai kualiti yang baik di hadapan gol.