Kontinjen Wilayah Persekutuan masih yakin dapat mempertahankan kejuaraan keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) di sini, walaupun kini menduduki tempat ketiga dengan hanya berbaki tiga hari lagi sebelum temasya itu berakhir.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kontinjen itu mampu mengulangi pencapaian edisi lalu di Perlis, untuk membawa pulang sekurang-kurangnya 55 pingat emas.

"Kita memang nak kekal juara, tetapi jika dapat kedudukan tiga teratas pun Alhamdulillah...sasaran kami kali ini sebenarnya 70 emas.

"Setakat ini semuanya masih mengikut perancangan. Sewaktu di Perlis, kami juga tidak mendapat sebarang pingat untuk tiga hari pertama sebelum bangkit mengejar," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sarawak di sini, hari ini.

Di Perlis, kontinjen yang dikenali sebagai 'The Vipers' itu meraih 55 emas, 38 perak dan 49 gangsa berbanding Terengganu yang menjadi naib juara dengan 51 emas, 55 perak dan 31 gangsa, diikuti Sarawak 48-32-35.

Setakat pukul 3 petang ini, Wilayah Persekutuan berjaya meraih sebanyak 30 emas, 31 perak dan 30 gangsa manakala Selangor berada di kedudukan teratas dengan 44 emas, 54 perak dan 46 gangsa, diikuti tuan rumah dengan 42 emas, 25 perak dan 35 gangsa.

Mohd Razlan bagaimanapun yakin The Vipers mampu meraih lebih banyak pingat emas menerusi acara seperti angkat berat, badminton, bola sepak, boling padang, tenpin boling, golf, hoki lelaki dan wanita, memanah olahraga dan silat.