PADA hujung minggu lalu, sejumlah 60 orang pemain papan selaju berkumpul untuk bermain di beberapa lokasi strategik di sekitar Kuala Lumpur.

Perarakan mereka bermula di MRT Pasar Seni hingga ke sebuah taman di Suria KLCC, dibina khas oleh lagenda papan selaju Malaysia, Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali sebagai Pa’din Musa.

Kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sebuah syarikat kasut berpangkalan di Amerika Syarikat, Vans, membolehkan sebuah gelanggang papan selaju ataupun ‘skate park’ sementara itu dibina di taman itu.

Kebiasaannya, mereka akan bergabung dengan lebih ramai penggiat papan selaju, menjadikan jumlah keseluruhan yang aktif bermain di sana pada hujung minggu lepas melebihi seratus orang.

Sememangnya ‘habitat’ asal pemain papan selaju adalah di tengah bandar, dengan sifat sukan urban yang menyaksikannya dimainkan di jalanan, lokasi tengah bandar yang strategik.

Ia menjadikan pembinaan gelanggang papan selaju di hadapan Suria KLCC di tengah pusat bandar Kuala Lumpur satu tindakan yang bijak oleh DBKL.

Aksi pemain papan selaju Kuala Lumpur di gelanggang papan selaju sementara di hadapan Suria KLCC. - Foto Instagram/@harizmansor

Gelanggang di tengah bandar ini bukan sahaja bakal mengurangkan aktiviti vandalisme oleh pemain papan selaju, malah ia bakal meningkatkan lagi prestasi pemain papan selaju di negara ini dengan galakan dan motivasi daripada orang-orang lama seperti Pa’din dan juga juri papan selaju bertaraf antarabangsa, Mariss Khan.

Mereka banyak membentuk dan membina gelanggang papan selaju yang menggalakkan pemain papan selaju berusaha lebih keras untuk menjadi yang terbaik, di samping meningkatkan daya kreativiti pemain.

Menerusi papan selaju ini, penggiat sudah pasti akan berkongsi kandungan aksi-aksi mereka di media sosial, berlatarbelakangkan Menara Berkembar PETRONAS, sekali gus mempromosi aktiviti lokasi bermain papan selaju di negara ini ke seluruh dunia.

Ramai pemain selaju di negara luar sudah mula bertanya mengenai lokasi tersebut dan lebih mengejutkan mereka, ia dibina oleh pihak berkuasa bandar sendiri, untuk kegunaan awam.

Ini kerana lokasi-lokasi untuk mengambil gambar atau video di tengah bandar ini selalunya mempunyai larangan untuk bermain papan selaju.

Jika di Barcelona, Sepanyol ramai pemain papan selaju yang bertumpu di perkarangan Muzium Seni Kontemporari (MACBA) dan manakala di London ramai yang bermain di South Bank, Kuala Lumpur ada KLCC.

Namun gelanggang papan selaju itu di hadapan Suria KLCC itu hanya untuk sementara dan akan ditutup pada penghujung bulan ini.

Jika ia dikekalkan, sudah pasti akan meningkatkan lagi kemampuan pemain papan selaju untuk bermain dalam kategori ’street’ yang bakal dipertandingkan di Olimpik Tokyo pada 2020.

Hampir kesemua pemain papan selaju yang berjaya dalam kategori ‘street’ bermain di jalanan seperti Nyjah Huston dan Shane Oneill, oleh itu gelanggang yang dibina di hadapan KLCC itu amatlah sesuai sebagai satu langkah permulaan.

Malah, gelanggang itu boleh dikembangkan dengan sokongan jenama-jenama papan selaju lain serta kreativiti pemain papan selaju di negara ini, untuk mengasah bakat pemain papan selaju tempatan sehingga mampu bersaing di kejohanan terkemuka, Street League Skateboarding (SLS).