Bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba, 40 tahun berharap skuad Harimau Malaya bermain dengan baik pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018, malam ini. (Selasa, 11 Disember).

Walaupun tidak mengetahui mengenai perkembangan bola sepak negara namun kejayaan Malaysia berjaya ke final tetap mencuri tumpuannya.

“Saya melihat pasukan kebangsaan Malaysia mara ke final dan saya ingin mengucapkan tahniah. Saya berharap anda semua mencapai keputusan yang baik.” kata Drogba dalam temubual bersama Ian Johan Ariff untuk rancangan bual bicara bola sepak terbitan Astro Awani, Bual Bola.

Drogba ke Malaysia sempena salah satu jelajah promosi rakan rasmi skuad bola sepak Chelsea, Yokohama di Malaysia.

Kali terakhir penyerang Ivory Coast itu berkunjung ke Malaysia adalah ketika jelajah Asia skuad Chelsea ke Malaysia pada 2011, di mana Drogba menjaringkan gol kemenangan yang penuh kontroversi, menerusi satu sepakan percuma pada lewat permainan.

Dalam perlawanan itu Chelsea menang 1-0 ke atas skuad pilihan Malaysia.

Drogba berhijrah dari Marseille ke Chelsea pada 2004 dengan bayaran perpindahan termahal kelab ketika itu bernilai £24 juta.

Penyerang Ivory Coast itu membantu the Blues menjuarai liga utama Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun pada musim pertama beliau menyertai kelab London itu.

Sepanjang berada di Chelsea, Drogba menjaringkan 164 gol untuk the Blues, memenangi 12 trofi utama di England dan merupakan pemain Afrika pertama menjaringkan 100 gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Selepas Chelsea, Drogba berhijrah ke China dengan menyertai Shanghai Shenhua pada 2012, sebelum berpindah ke Turki untuk menyertai Galatasaray pada 2013.

Beliau kemudian kembali menyertai Chelsea pada 2014 sebelum menyertai kelab bola sepak Kanada, Montreal Impact dan berhijrah ke Amerika Syarikat untuk beraksi bersama Phoenix RIsing.

Drogba mengumumkan persaraan bermain secara profesional tahun ini pada usia 40 tahun.