Berita  |  Sukan

Welson Sim, Fatehah Olimpian Terbaik 2017

Welson Sim, Fatehah Olimpian Terbaik 2017
Welson Sim (kiri) dan Fatehah Mustapa telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Olimpian Terbaik 2017. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perenang sensasi negara, Welsom Sim dan ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki dan Wanita 2017 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada majlis Anugerah dan Jamuan Malam MOM ke-24 di sini, malam ini.

Selain meraih dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), perenang berusia 20 tahun itu dipilih atas pencapaian merangkul emas dalam acara 400m gaya bebas pada Kejohanan Mare Nostrum Tour di Monaco, Jun lepas dengan mengetepikan juara Olimpik, Mack Horton dari Australia.

Beliau turut melakarkan rekod kebangsaan acara tersebut, sekali gus menjadi perenang Malaysia kedua memenangi gelaran pada kejohanan itu selepas Phee Jing En, tahun lepas.

Welson Sim bergambar dengan pingat dan replika cek yang diterima pada Majlis Jamuan Tahunan Majlis Olimpik Malaysia ke-24 di Wisma OCM pada Khamis. - BERNAMA
Pada KL2017, Ogos lepas, perenang kelahiran Kuching itu menggondol dua emas selepas mempertahankan acara 400m gaya bebas serta memenangi acara 200m gaya bebas di samping mengumpul sebutir perak dan gangsa, masing-masing dalam acara 4x100m dan 4x200m gaya bebas.

Fatehah, 28, pula menjadi pilihan Jawatankuasa Anugerah MOM pada tahun ini apabila meraih empat pingat emas pada KL2017 - acara keirin, pecut, pecut berpasukan dan 500m ujian masa serta gangsa acara keirin pada Melbourne International Grand Prix di Australia serta pencapaian baik pada kejohanan Dunia di Manchester.

Majlis anugerah tahunan itu tidak diadakan tahun lepas kerana kesibukan menghadapi Sukan Olimpik Rio dan penyampaian anugerah bagi tahun 2016 diadakan serentak dengan edisi 2017.

Pemenang anugerah menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta pingat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. pada majlis yang berlangsung di Arena Tan Sri Hamzah, Kompleks Sukan Tertutup MOM, di sini.

Bagaimanapun, Fatehah tidak hadir pada majlis itu kerana sedang mengikuti latihan di Melbourne.

Sementara itu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki 2016 atas pencapaian pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016 manakala gandingan penerjun wanita, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong diumumkan sebagai pemenang bersama bagi kategori wanita.
Gandingan penerjun itu dipilih atas pencapaian merangkul pingat perak dalam acara 10m platform seirama di Sukan Olimpik Rio 2016.

Chong Wei menerima anugerah tersebut buat kali ketiga selepas tahun 2008 dan 2012.

Dalam pada itu, SportsUnite, sebuah badan yang ditubuhkan pada 2007, khusus untuk membangunkan sukan junior di negara ini, dianugerahkan Trofi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi 'Sukan Merentasi Sempadan'.

Bekas presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia dan bekas naib presiden MOM, Datuk Norminshah Sabirin dipilih sebagai penerima Anugerah Wanita dan Sukan MOM 2017 manakala Naib Presiden Persatuan Persatuan Lawan Pedang Malaysia, Rusni Abu Hassan diumumkan sebagai penerima anugerah itu bagi tahun 2016.

Rusni turut memegang jawatan penting yang lain seperti Naib Presiden Konfederasi Lawan Pedang Asia dan Presiden Persekutuan Lawan Pedang Asia Tenggara.

Majlis anugerah itu turut menyaksikan sejumlah 22 nama diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran MOM, satu pengiktirafan kecemerlangan bagi atlet bersara, pegawai sukan serta wartawan sukan dan anggota media berusia 40 tahun dan ke atas.

Antara nama yang dipilih bagi tahun 2016 ialah bekas pelari pecut dan Olimpian, Josephine Mary, bekas permain badminton, Wong Choong Hann, pelumba berbasikal, Nor Effandy Rosli dan penembak wanita, Nurul Huda Baharin.

Bagi tahun 2017, antara nama yang tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran ialah atlet olahraga, Annie Choong dan 'Bapa Sukan Bina Badan Negara', Datuk Wira Gan Boon Leong.

SENARAI PENUH PEMENANG

Olimpian MOM

2016: Datuk Lee Chong Wei (Lelaki); Pandelela Rinong
2017: Welson Sim (Lelaki); Fatehah Mustapa (Wanita)

Anugerah Wanita dan Sukan MOM

2016: Rusni Abu Hassan
2017: Datuk Norminshah Sabirin

Trofi IOC 2017

SportsUnite

Diabadikan Dalam Dewan Kemasyhuran MOM

2017:

Pesara Pegawai Sukan Cemerlang

1. Datuk P. Krishnasamy (Kriket)
2. Datuk Dr. Harjit Singh (Kriket)

Pesara Alet Kebangsaan

3. Annie Choong (Olahraga)
4. Datuk Wira Gan Boon Leong (Bina Badan)
5. Mendiang M.C. Kailasapathy JP (Kriket)
6. S. Rajalingam (Kriket)
7. Datuk Dr. Amarjit Singh (Kriket)
8. Ng Joo Pong (Berbasikal)
9. Hector Conrad Talalla (Berbasikal)
10. Omar Saad (Berbasikal)

2016:

Pesara Atlet Kebangsaan

1. Josephine Mary (Olahraga)
2. Wong Choong Hann (Badminton)
3. Nor Effandy Rosli (Berbasikal)
4. Nurul Huda Baharin (Menembak)
5. Kenny Ang (Tenpin Boling)
6. Ben Heng (Tenpin Boling)
7. Mendiang Toh Fook Hung (Angkat Berat)
8. Thong Saw Pak (Angkat Berat)
9. Mendiang Tan Kim Bee (Angkat Berat)
10. Chung Kum Weng (Angkat Berat)
11. K.H. Cheong (Angkat Berat)
12. Muhammad Hidayat Hamidon (Angkat Berat)

-- Bernama