TONY Pulis memberikan bayangan bahawa Arsene Wenger tidak memiliki sebarang perancangan untuk berhenti daripada menguruskan kelab bola sepak Arsenal.

Pulis percaya penyokong Arsenal tidak sabar menantikan saat Wenger meninggalkan kelab selepas kontraknya tamat pada penghujung musim ini kerana jika tidak, mereka terpaksa menanti enam tahun lagi untuk mendapatkan pengendali baru.

Pengendali West Brom itu dan Wenger sering bertelagah sejak beberapa musim ini, namun beliau menyokong Wenger untuk terus mengendalikan pasukan.

"Saya dapat berasakan Wenger tiada perancangan untuk berhenti daripada mengendalikan pasukan," kata Pulis.

"Beliau seorang yang gilakan bola sepak. Saya berpendapat Wenger akan menjadi pengendali terbaik Arsenal dan mahu kekal lima atau enam tahun lagi di Stadium Emirates.

"Arsenal merupakan antara pasukan hebat di Eropah dan mampu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik serta dalam perjalanan menjulang gelaran Piala FA."