KELAB League One, Wigan Athletic, meranapkan impian Manchester City untuk menyapu bersih semua piala musim ini apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris itu ditunjukkan jalan keluar dari saingan Piala FA.

The Citizens tewas 0-1, selepas serangan bertalu gagal memecah benteng Wigan yang kemudian memanfaatkan kekurangan pemain pihak lawan menerusi Will Grigg 11 minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Pertembungan di DW Stadium dikuasai City dan mereka berpeluang mendahului pada penghujung babak pertama, namun gagal disempurnakan pemain tengahnya Fernandinho.

Bagaikan petanda, tragedi City kemudian semakin buruk apabila Fabian Delph dilayangkan kad merah selepas didapati mengasari Max Power pada masa tambahan separuh masa pertama, menggoncang moral pasukan pelawat itu.

Situasi ini mencetuskan ketegangan antara dua pengendali, Pep Guardiola dan Paul Cook, di terowong menuju bilik persalinan semasa rehat.

Penyokong City beremosi, polis jadi mangsa dilempar papan iklan. - Gambar REUTERS

Emosi City selepas maruah dan ego dirobek pasukan kerdil seakan tidak boleh disembunyikan lagi, apabila ketegangan terus berlaku selepas tamat perlawanan, menyaksikan Sergio Aguero menumbuk seorang penyokong tuan rumah yang menceroboh masuk padang dan mencetus provokasi.

Malah, anggota polis bertugas di stadium turut dilempar papan iklan oleh penyokong City yang tidak dapat menerima kekalahan mengejutkan itu.