Tutup

Berita  | Sukan

Woods sahkan jalani pembedahan lutut

Woods sahkan jalani pembedahan lutut
Woods meraih gelaran Masters pada April lalu, tetapi sejak itu, dia bergelut untuk mencapai prestasi dan tahap kecergasan terbaik. - Gambar fail
Tiger Woods mengumumkan dia telah menjalani pembedahan lutut kiri pada minggu lalu untuk memperbaiki kerosakan pada bahagian tersebut.

Pemenang 15 kejuaraan utama itu dijangka kembali beraksi dua bulan lagi selepas menjalani pembedahan tersebut.

Woods kembali beraksi dengan prestasi hebat susulan kecederaan belakang yang dialami tahun lalu apabila memenangi saingan penutup Kejohanan Jelajah.

Dia kemudian meraih gelaran Masters pada April lalu -- menjadi kejuaraan utama pertamanya dalam tempoh hampir 11 tahun -- tetapi sejak itu, dia bergelut untuk mencapai prestasi dan tahap kecergasan terbaik.
Situasi itu menyaksikannya gagal layak ke Kejohanan Jelajah minggu lalu tatkala dia berharap dapat mempertahankan gelaran tetapi akhirnya terpaksa menjalani pembedahan pada lutut kiri.

"Saya menjangkakan Woods akan pulih dengan sempurna," kata individu yang menjalankan pembedahan lutut tersebut, Dr Vern Cooley.
"Kami melakukan apa yang perlu dan memeriksa seluruh bahagian lutut. Tiada sebarang masalah lain."

BACA: Kebangkitan Tiger Woods satu keajaiban!

BACA: Golf: Tiger Woods tamatkan kemarau kejuaraan Jelajah PGA

Woods akan mengetuai Amerika Syarikat dalam Piala Presiden-Presiden pada Disember depan dan dia berkata:

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Cooley dan pasukannya. Saya kini dapat berjalan dan berharap boleh menyambung latihan dalam beberapa minggu lagi.

"Saya tidak sabar untuk menjelajah dan beraksi di Jepun pada Oktober depan dalam saingan Kejohanan Jelajah PGA Zozo."





Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro