KUALA LUMPUR: Kejohanan superbike dunia (WSBK) lebih diminati pengguna motosikal berkuasa tinggi walaupun perlumbaan MotoGP merupakan perlumbaan paling prestij bagi kategori motosikal.

Mana tidaknya, perlumbaan itu menggunakan 'production bike' ataupun motosikal yang dijual di pasaran seperti Ducati Panigale, Aprilia RSV4, BMW S1000 RR dan Kawasaki ZX10R.

Jadi perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula esok lebih dekat di hati penonton terutama sekali pemilik motosikal Kawasaki ZX10R.

Pemilik ZX10R ataupun Kawasaki dapat berbangga kerana motosikal yang dimiliki mereka merupakan model yang paling kuat musim ini berbanding motosikal berkuasa tinggi jenama lain.

Kawasaki ZX10R kini mendahului model lain yang bersaing pada perlumbaan itu.

Pelumba pasukan Kawasaki, Jonathan Rae kini mendahului kejohanan selain semakin hampir dimahkotakan sebagai juara WSBK musim ini.

Bukan sahaja perlumbaan superbike menjadi tumpuan, bagi pengurus pemasaran dan komunikasi SIC, Amiela Junita Nasir, WSBK di Sepang tahun ini merupakan festival motosikal terbesar di Malaysia.

Menurut Junita, peminat yang hadir dapat menguji kehandalan mereka dalam pelbagai cabaran motosikal yang dianjurkan SIC pada sebuah litar yang dibina khas.

Antara cabaran yang mencuri tumpuan adalah Motack, Moto Jamm, finale WSBK Wheelie Challenge selain pertunjukkan stunt bike oleh Aaron Twite.

Acara tumpuan sudah pasti kepada perarakan motosikal berkuasa tinggi pada 2 Ogos yang melibatkan 700 buah motosikal dari jenama Kawasaki, Aprilia dan Ducati.

Sambutan untuk WSBK juga dijangka semakin meningkat sejak penganjuran pertamanya tahun lalu.

Menurut ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, sehingga petang tadi, jualan tiket sudah mencecah lebih 60% daripada sasaran 35,000 tiket.

Jelas beliau, walaupun penjualan tiket agak perlahan, orang ramai biasanya membuat keputusan untuk membeli tiket pada saat akhir kerana jumlah jualan semakin meningkat berdasarkan laporan terbaharu petang tadi.

Pada tahun pertama penganjuran WSBK di Sepang, sebanyak 30,000 tiket dijual.