PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui bangga dapat menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak pasukan itu selepas mereka menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Real mencatat sejarah sebagai pasukan pertama mencatat kejayaan hatrik berturut-turut dalam era moden kempen kelab elit Eropah itu, sekali gus menambah koleksi trofi ke-13 mereka sepanjang penyertaan kempen kelab elit kelab Eropah tersebut.

BACA: Real Madrid pertahan UCL buat kali ketiga berturut-turut

Sebelum ini hanya Ajax Amsterdam (1971, 1972, 1973) dan Bayern Munich (1974, 1975 1976) sahaja yang berjaya memenangi trofi ini tiga kali berturut-turut ketika kejohanan ini dikenali sebagai Piala Eropah.

Manakala Liverpool pula pernah menjuarainya lima kali iaitu pada 1977, 1978, 1981, 1984, 2005.

"Real telah menjadi kelab legenda yang telah memenangi 13 gelaran di pentas Eropah dan saya gembira menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

"Kami kehilangan kata-kata. Ini sebuah pasukan yang berbakat dan bekerja keras. Kami mempunyai harapan dan keinginan untuk melakukan perkara yang baik, kami mahu melakukannya sekali lagi.

"Saya memberitahu pemain untuk menikmati detik ini kerana kejayaan ini tidak akan berulang,” katanya yang turut muncul jurulatih pertama untuk merakam tiga gelaran utama Eropah berturut-turut.

Sementara itu, pemain tengah Real, Luka Modric percaya sukar bagi pasukan lain untuk mengatasi pencapaian baru yang dilakar pasukannya itu.

"Ia sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang besejarah. Saya tidak tahu sama ada akan ada pasukan lain mampu mengulangi pencapain ini pada masa akan datang kerana ia dua kali ganda menakjubkan.

"Apa pun, Real kini telah menjadi pasukan yang menguasai pentas eropah, nampak mudah tapi saya tidak fikir ia mampu dilakukan oleh pasukan lain," katanya.