ZINEDINE Zidane mengakui dia kecewa melihat Luka Modric dan Marcelo terpaksa dikeluarkan ekoran mengalami kecederaan dalam kemenangan 2-1 ke atas Malaga.

Marcelo terpaksa dikeluarkan di babak pertama sekali gus menyebabkan Zidane terpaksa mengubah taktikal dengan membawa masuk Isco dan Lucas Vazquez yang terpaksa beraksi di bek kanan.

Modric turut dikeluarkan di hujung perlawanan -- digantikan dengan Mateo Kovacic -- sekaligus menyertai Dani Carvajal, Pepe, Danilo, Fabio Coentrao, James Rodriguez dan Gareth Bale yang turut alami kecederaan.

Kehilangan enam pemain tonggak itu kini menyebabkan Zidane tidak mempunyai pilihan dalam menentukan kesebelasan utama apabila bertandng ke Celta Vigo dalam aksi suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol.

"Luka mengalami kesakitan. Kami berharap ia tidak serius. Kami akan melihat tahap kecederaannya selepas pemeriksaan pada Ahad," ujarnya.

Tambahnya, kecederaan Marcelo lebih rumit dan dia juga perlu menjalani pemeriksaan.

"Pasukan Castilla tidak berada di sini minggu ini, jika tidak saya akan menurunkan pemain muda.

"Danilo juga berasa kurang cergas dan untuk itu kami merehatkannya. Saya agak kecewa dengan kecederaan yang mereka alami. Kami ada perlawanan yang besar pada Rabu namun kecederaan dialami mengganggu proses pemilihan," Zidane memberitahu media selepas tamat perlawanan.