PENGURUS Real Madrid, Zinedine Zidane sudah mula memancing pemain yang dimahukannya untuk musim depan dan Paul Pogba dari Manchester United adalah salah seorang daripadanya.

Dalam satu sidang media pada Ahad, Zidane yang kembali mengurus Real membuat kenyataan bahawa dia amat suka dengan cara permainan Pogba.

Malah, Zidane memberitahu Pogba ada menyatakan bahawa Real cuba membawanya ke Madrid.

“Jadi apabila tempohnya di Manchester berakhir, apa salahnya berpindah ke Madrid,” kata Zidane.

Pogba, 26 tahun sering dikaitkan dengan penghijrahan ke Madrid dan ada menyatakan Real Madrid merupakan impian setiap pemain bola sepak semasa satu sidang media bersama skuad antarabangsa Perancis.

“Saya kenalnya (Pogba) secara peribadi, dia memberikan segalanya kepada pasukan dan hanya beberapa pemain sahaja boleh melakukannya,” kata Zidane.

“Pogba seorang pemain tengah yang mahir bertahan dan juga menyerang," ujarnya.

Pogba kembali menyertai United dari Juventus pada 2016 dengan rekod bayaran perpindahan £89 juta.

Sebelum ini, United menjual Cristiano Ronaldo kepada Madrid dengan £80 juta yang juga merupakan rekod perpindahan pada 2009.

Zidane kembali menjadi pengendali Real selepas pasukan itu memecat Santiago Solari pada Mac 2019.