Berita  | Sukan

Zidane percaya Real Madrid masih di landasan betul

Zidane percaya Real Madrid masih di landasan betul
ZIDANE: Kami bermain dengan hebat dan berhak mendapat keputusan lebih baik, tetapi ia tidak berlaku. - Gambar fail/REUTERS
ZINEDINE Zidane menegaskan Real Madrid masih berada di jalan yang betul selepas menyaksikan pertemuan jiran setempat pasukannya menentang Atletico Madrid berakhir tanpa jaringan di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Keputusan 0-0 bermakna kedua-dua pasukan kini 10 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona, selepas skuad Catalan itu terdahulu mengatasi Leganes 3-0, awal hari ini.

Tiada skuad yang pernah bangkit daripada defisit itu boleh memenangi gelaran, tetapi Zidane tetap yakin pasukannya mampu mengubah keadaan dan meletakkan skuad bimbingan Ernesto Valverde dalam tekanan.

"Kami bermain dengan hebat dan berhak mendapat keputusan lebih baik, tetapi ia tidak berlaku," kata Zidane kepada pemberita selepas perlawanan.
"Kami harus bersabar, kami berada di jalan yang betul.

"Barca pasti akan kehilangan mata. Kami perlu meneruskan kerja kami, itu sahaja."

Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema terus gagal di depan gol di Wanda Metrpolitano dan gandingan itu kini hanya menjaringkan dua gol dalam 16 penampilan liga mereka pada musim ini.

Zidane, bagaimanapun, percaya sentuhan gol akan mula muncul semula tidak lama lagi buat penyerangnya.

Dia menambah: "Kadang-kala ada saatnya (bola) tidak ingin masuk. Saya tidak dapat menjelaskanny kepada anda.

"Perkara yang baik pada malam ini adalah kami bermain dengan baik. Tetapi memang benar, kami tidak mempunyai gol.

"Ia akan muncul. Anda mesti positif dan kami positif."



Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro