Berita  | Sukan

Zidane, Ramos gusar kelibat Di Maria di sebalik ketiadaan Neymar

Zidane, Ramos gusar kelibat Di Maria di sebalik ketiadaan Neymar
Zidane pula menyifatkan Di Maria seorang pemain bola sepak yang luar biasa. - Astro Arena
ZINEDINE Zidane dan Sergio Ramos menolak kepentingan ketiadaan Neymar bersama Paris Saint-Germain (PSG) sambil menegaskan ancaman bekas bintang Real Madrid, Angel Di Maria, yang akan menggantikan tempat bintang Brazil itu dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Madrid membawa bekalan 3-1 ke Paris dalam pertembungan timbal balik pusingan 16 itu, awal pagi esok.

Malah, Madrid juga menerima rangsangan pada minggu lalu susulan khidmat bintang Brazil, Neymar, tidak dapat digunakan PSG akibat kecederaan semasa membabitkan aksi Ligue 1.
Bagaimanapun, Zidane dan kapten, Ramos, mendakwa situasi itu tidak akan mencetuskan perbezaan besar dengan kedua-dua sosok itu menegaskan Di Maria, yang pernah mewakil Madrid dari 2010 hingga 2014, dijangka memanfaatkan ketiadaan Neymar.

Ketika ditanya mengenai betapa pentingnya kelibat Neymar, Ramos memberitahu wartawan di Paris bahawa Neymar seorang pemain yang berbeza.

"Tidak ramai pemain sepertinya di pentas dunia, mana-mana pasukan yang diwakilinya pasti mendapat manfaat. Kami pernah menghadapinya ketika bertemu Barca namun, Di Maria juga merupakan pemain hebat dan dia boleh menggantikan tempat Neymar.

"Saya fikir Di Maria adalah seorang pemain yang mampu bertahan dengan baik, bekerja keras dan melancarkan serangan. Saya fikir kami mempunyai skuad yang cukup bagus untuk menyaingi mereka."

Zidane pula menyifatkan Di Maria seorang pemain bola sepak yang luar biasa.

"Dia bermain sangat baik untuk kelab ini tetapi tidak kira siapa pun yang akan menggantikan Neymar, pemain itu pasti akan melakukan persembahan yang baik.

"Dia mempunyai sejarah hebat di Real Madrid. Dia boleh bermain di mana-mana dan mampu berlari di segenap penjuru padang selain memiliki rembatan padu serta pantas," katanya.

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini