JURULATIH Real Madrid, Zinedine Zidane, berasakan pencapaiannya sebagai pemain tidak akan menawarkan perlindungan kepadanya bersama gergasi LaLiga itu kerana percaya dia tidak akan berada di kelab itu dalam tempoh 10 tahun.

Zidane -- membimbing Madrid untuk meraih dua gelaran Liga Juara-Juara (UCL) dan satu gelaran LaLiga -- kini berada di bawah tekanan di Santiago Bernabeu selepas Madrid tercicir 16 mata di belakang pendahulu, Barcelona, berikutan hanya memenangi sembilan daripada 17 perlawanan liga.

Zidane, yang telah bertanggungjawab sejak Januari 2016, faham dia memiliki tempoh yang terhad untuk menerajui Madrid.

"Zinedine Zidane bukan lagi pemain di Real Madrid, Zidane tidak lagi wujud," katanya kepada France Football.

"Kini, Zinedine Zidane menjadi jurulatih untuk mengukuhkan kerjaya. Saya tidak dilindungi oleh apa yang saya lakukan sebagai pemain di kelab ini.

"Saya tahu bahawa suatu hari nanti, tempoh saya (sebagai jurulatih) akan berakhir di Real Madrid, jadi saya mahu memanfaatkannya dan melakukan segala yang terdaya untuk berjaya.

"Saya berkata kepada diri sendiri, 'jika saya mempunyai 10 hari lagi di sini, maka saya akan menjalani 10 hari ini secara maksimum, jika enam bulan, saya akan menempuhi enam bulan ini secara maksimum'. Saya tidak fikir melangkaui tempoh itu.

"Saya tahu saya tidak akan kekal selama 10 tahun," katanya.

Madrid masih belum menemui rentak terbaik musim ini apabila gagal memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir liga untuk menduduki tangga keempat LaLiga.

Begitupun, Zidane -- memenangi LaLiga dan UCL sebagai pemain Los Blancos -- berkata keupayaannya untuk mengabaikan tekanan luar adalah penting.

"Tekanan luar tidak menjejaskan saya, saya telah memasang perisai di sekeliling saya, tiada apa yang boleh mengganggu saya," katanya.

"Saya mempunyai banyak tanggungjawab (sebagai jurulatih Real Madrid), namun sebaik saya pulang ke rumah, saya tidak pasti berapa ramai jurulatih yang dapat mengetepikan fikiran mereka daripada tugasan, namun saya memiliki keupayaan itu.

"Saya pulang dan saya menikmati waktu bersama isteri atau anak-anak dan saya akan keluar menonton pertunjukan atau makan malam. Saya mengelak daripada kerja kerana itu penting," katanya lagi.