PENYERANG karismatik Sweden, Zlatan Ibrahimovic dilapor bersetuju dengan terma yang ditawarkan AC Milan, menandakan penyerang 37 tahun itu selangkah semakin meninggalkan Los Angeles.

Akhbar Itali, La Gazetta dello Sport (menerusi Calcio Mercato) melaporkan, Ibrahimovic ditawarkan kontrak enam bulan, dengan pilihan lanjutan setahun sebelum memasuki enam bulan terakhir kontraknya bersama LA Galaxy antara June 2020 dan Disember.

Menurut akhbar itu lagi, pemain tinggi lampai itu kini menunggu panggilan balas daripada pengarah Milan, Leonardi Araújo untuk memuktamadkan perjanjiannya sebelum Ibrahimovic dapat kembali ke San Siro.

Dilaporkan juga bahawa kedua-dua kelab dipercayai ‘berhajat dalam menjadikannya satu kenyataan’.

Ia menguatkan laporan wartawan Milan News, Antonio Vitiello, ejen Ibrahimovic, Mino Raiola hadir ke ibu pejabat Milan untuk satu pertemuan yang berlangsung kira-kira empat jam, dan permata Sweden itu menjadi ‘topik perbualan utama’.

Sejak menyertai Galaxy pada Mac tempoh hari, Ibrahimovic pantas mengesahkan statusnya selaku legenda kelab tersebut apabila menjaringkan dua gol termasuk jaringan menakjubkan dari jarak 45 ela pada perlawanan pertamanya menentang seteru tetangga, Los Angeles FC.

Kini Ibrahimovic telah menjaringkan 22 gol dalam 27 perlawanan bersama kelab Major League Soccer (MLS) itu.

Ia menjadikan keseluruhan jaringan kariernya kepada 544 gol, satu daripada tiga pemain yang masih aktif melepasi rekod 500 gol peribadi selain Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.