Bekas juara remaja dunia 2011 mengetuai cabaran pemain Malaysia mara ke separuh akhir kejohanan badminton Antarabangsa Sydney yang dilangsungkan di Pusat Bola Jaring New South Wales, Australia.

Zulfadli Zulkiffli menewaskan pemain Sepanyol, Ernesto Velazquez 21-16, 21-17 di suku akhir hari ini, untuk menempah pertemuan menentang Tan Yuhan dari Belgium di separuh akhir esok.

Tan, pemain pilihan ketiga menempah tempatnya selepas mengetepikan cabaran Siddharath Thakur dari India 21-14, 21-11 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Adik Zulfadli, Zulhelmi turut mengiringi abangnya di separuh akhir selepas mengetepikan Yu Jen Chi dari Taiwan 21-15, 21-11.

Pasangan pelapis kebangsaan, Jagdish Singh/Roni Tan Wee Long turut layak ke separuh akhir acara beregu lelaki selepas mendapat kemenangan mudah ke atas gandingan tuan rumah, Matthew Chau/Sawan Serasinghe yang menarik diri ketika kedudukan 12-13 pada set pertama.

Jagdish yang kemudian berpasangan dengan Erica Pei Shan Khoo dalam acara beregu campuran, bagaimanapun gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 18-21, 16-21 kepada pilihan utama, Phillip Chew/Jamie Subandhi dari Amerika Syarikat.

Namun Erica, menebus kegagalan itu apabila dia bersama Wei Chyi Ti menundukkan gandingan tuan rumah Jennifer Tam/Alice Wu 21-12, 21-11 untuk mara ke separuh akhir beregu wanita.

Nasib berbeza dialami beregu campuran, Roni Tan/Wei Chyi apabila kalah 12-21, 19-21 kepada pilihan kedua Robin Middleton/Leanne Choo dari Australia manakala Yan Sheng Lee/Woon Fui Lin tunduk 15-21, 15-21 di tangan Wei Chen Liu/Yang Po Han dari Taiwan dalam acara beregu lelaki.