Pelumba Superpsort WSBK negara, Zulfahmi Khairuddin, mahu menggunakan tempoh rehat dengan sebaik-baiknya sebelum kembali beraksi dalam pusingan ke-10 Kejuaraan Superbike Dunia di Jerman, September ini.

Selepas menampilkan aksi bertenaga ketika saingan di Sepang, Mei lalu, dengan menduduki tempat kedua kelas Superbike, Zulfahmi gagal mengulangi aksi konsisten dalam dua pusingan seterusnya.

Pusingan terakhirnya sebelum bercuti rehat adalah di Itali pada 19 Jun lalu, menyaksikan Zulfahmi gagal menamatkan saingan kerana terjatuh.

Dia kini mahu menggunakan waktu cuti untuk membantunya kembali fokus sebelum Kejuaraan Superbike Dunia berlangsung semula 16 September nanti.

"Saya harapkan di Jerman nanti, kami dapat perbaiki kedudukan dalam carta kejuaraan.

"Saya rasa yakin dapat memperbaiki kedudukan itu dan saya tahu saya berpotensi untuk buat lebih baik," jelasnya.

Zulfahmi juga masih gembira dengan prestasinya setakat ini memandangkan ini adalah penampilan pertamanya dalam Kejuaraan Superbike Dunia.

Berbeza dengan saingan Moto2, Zulfahmi mengakui ada beberapa perubahan teknikal yang perlu segera diadaptasi andai mahu lebih berjaya dalam saingan WSBK.

"MotoGP dan WSBK memang terdapat perbezaan ketara.

"Dalam MotoGP saya berlumba 18 pusingan, namun dalam WSBK hanya 12 pusingan. Jadi, itu saja sudah menghadirkan cabaran yang nyata berbeza."