Pada tahun 1998, dua orang pelajar PhD dari Universiti Sanford mempunyai impian untuk membantu manusia menyusun maklumat agar mudah diakses.

Dari garaj di belakang rumah, Sergey Mikhaylovich Brin dan Larry Page membangunkan sebuah laman web yang berfungsi membuat kerja-kerja penyusunan maklumat yang dikongsikan menerusi internet sehingga wujudnya sebuah enjin carian yang dinamakan sebagai Google.

Pada era 90-an, ada lebih 10 buah laman web yang mempunyai fungsi hampir sama dengan Google, tetapi keanjalan serta keupayaan untuk berevolusi menjadikan Google terus memecut ke hadapan sehingga menjadi sebuah gergasi internet pada masa kini.

Melalui enjin carian, banyak produk serta peluang ekonomi baharu wujud sehingga membolehkan Google terus berkembang pesat. Google kini dimiliki oleh syarikat yang dinamakan sebagai Alphabet.

Setakat ini, carian di Google boleh dilakukan menggunakan lebih 150 bahasa di 190 negara di seluruh dunia.

Bayangkan, kini manusia boleh berhubung malah boleh memahami satu-satu lokasi menggunakan perkhidmatan yang disediakan menerusi inisiatif yang diasaskan oleh enjin carian seperti Google.

Setakat ini, terdapat ima bidang yang telah diperbaharui dan dikemas kini dalam memberikan pengalaman carian yang lebih sempurna kepada pengguna.

Antaranya carian destinasi popular, tempahan penerbangan serta hotel, acara sukan terkini, hiburan terbaharu serta membeli-belah untuk trend kontemporari.

Peluang yang ada

Bagi usahawan, banyak perkara boleh diteroka untuk pemasaran produk dan perkhidmatan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Menurut internetlivestats.com, secara purata terdapat 40,000 carian dibuat setiap saat yang menterjemahkan 3.5 billion carian sehari atau 1.2 trillion carian sepanjang tahun di seluruh dunia.

Bayangkan, menerusi data carian ini, semestinya banyak maklumat yang dimahukan dalam situasi yang paling cepat dan tepat.

Bagi penyedia kandungan dalam talian, ini membuka ruang yang amat luas untuk membolehkan setiap kandungan itu dikongsi serta dimanfaatkan sebagai ruang menambah pendapatan.

Malah, daripada carian yang dibuat, ia juga mampu membantu mereka yang berada dalam masalah dibantu sebaiknya.

Namun, jangan dilupa bahawa setiap potensi ada risiko yang tersendiri dan langkah keselamatan sewajarnya perlu diambil bagi mengelak daripada kita menjadi mangsa penipuan mahupun salah guna data di masa hadapan.